Selamat Datang Ke Blog Kami


Dari Meja Tinta

بسم الله الرحمن الريم

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyanyang
Alhamdulillah Segala Pujian hanya untuk ALLAH yang telah membenarkan laman blog ini di tintakan dan diterjemahkan untuk tatapan semua .
Dengan adanya laman seperti ini ,ianya dapat menambah sedikit dakwat di dalam catatan buku ilmu tuan -tuan dan membenarkan kekuatan iman di lubuk hati , semoga dengannya mendapat rahmat dan berkat dari pentadbir dunia dan akhirat tuhan sekelian alam ...
amin...

Monday, 24 October 2011

Cerita Di Sebalik Bermalam Di Muzdalifah, Melontar Jamrah dan Korban

Artikel dipetik daripada Cerita-cerita Motivasi untuk Ibadah Haji dan Umrah oleh Khair Abd. Salam dan Zulkifli Khair

Rindu Nabi Ibrahim kepada Hajar dan Ismail sungguh memuncak. Lazimnya dia meminta seseorang datang menjenguk mereka berdua lalu menyampaikan perkhabaran dan keadaan masing-masing. Selepas beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim mengambil keputusan bertemu isteri kedua dan anaknya dengan pengetahuan Sarah.
Mekah kini sudah tidak seperti dahulu lagi. Mekah adalah sebuah penempatan berbanding padang pasir tandus sewaktu sebelumnya. Malah ia sering dikunjungi dan disinggahi orang terutama di kalangan pedagang. Semuanya disebabkan kemudahan air daripada telaga zamzam dan keadan tanah sekitarnya yang subur.
Sewaktu Nabi Ibrahim tiba di Mekah, Hajar dan Ismail tiada di situ. Selepas bertanya beberapa orang, Nabi Ibrahim pun menuju ke Arafah kerana dikatakan Hajar dan Ismail mengembala kambing di sana. Akhirnya, bertemulah tiga beranak di situ selepas bertahun-tahun berpisah, melepaskan rindu rendam masing-masing. Mereka malah sama-sama mengucapkan takbir dan tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah.
Pada sebelah petang, mereka bergerak kembali ke Mekah. Sebaik sahaja tiba di kawasan Muzdalifah (di dalam Quran, ia dikenali sebagi Masyaril Haram), mereka terlena keletihan. Dalam tidur, Nabi Ibrahim bermimpi, Allah memberi arahan supaya menyembelih anaknya yang dikasihi iaitu Ismail sebagai korban.
APabila terjaga, Nabi Ibrahim menceritakan mimpinya kepada Ismail. Ismail dengan rasa tenang dan penuh taat kepada Allah pun membalas, "Wahai bapaku, laksanakan apa yang diperintahkan Allah itu, aku tabah, insya-Allah."
Nabi Ibrahim akur. Semuanya ini dugaan dan cubaan daripada Allah. Sudahlah Ismail ditinggalkan di tanah tandus sejak bayi, kini diduga Allah pula supaya disembelih sebagai korban manakala Ismail satu-satunya cahaya mata selepas berpuluh-puluh tahun menunggu dan mengimpikan seorang anak.
Siapa sangka, baru beberapa jam dengan anak yang dirindui selepas bertahun-tahun tidak berjumpa, kini hendak disembelih pula dengan tangan sendiri. Walau bagaimanapun, dengan keimanan yang mutlak kepada Allah, Nabi Ibrahim segera melaksanakan perintah itu.
Dalam perjalanan, mereka bertemu seorang lelaki yang bertanya khabar dan tujuan. Maka dijelaskan tujuan berdasarkan wahyu Allah. Lelaki berkenaan tidak bersetuju dengan tujuan mereka itu. Diberinya pelbagai alasan, menyembelih anak sendiri hanyalah satu kezaliman.
Mereka sedar, lelaki berkenaan hanyalah iblis jelmaan manusia yang gemar menghalang manusia daripada melaksanakan perintah Allah. Tanpa berlengah, mereka melontar batu ke arah manusia iblis itu berulang kali sehingga mati. Dipercayai, tempat itu kini dikenali sebagai Jamratul Ula di Mina.
Cerita tidak berhenti di situ, kezaliman Iblis memesongkan manusia daripada keimanan dan kebenaran tetap tingi. Seorang lelaki lain muncul dengan penampilan serupa dan melarang daripada melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim dan Ismail tiada pilihan melainkan melontar batu ke arahnya sehingga mati.
Lelaki lain yang serupa muncul lagi dan dia juga menerima cuba membuat hasutan yang serupa, tetapi akhirnya menerima padah yang sama iaitu mati di lontar batu. Sekiranya sebelum ini tempat kejadian dikenali sebagai Jamratul Ula, tempat-tempat dua lelaki Iblis penghasut seteusnya mati kini dikenali sebagai Jamratul Wusta dan Jamratul 'Aqabah.
Kemudian,mereka pun menuju ke arah sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Malaikat di Mina. Nabi Ibrahim bersiap-siap dengan pedang tajam, manakala Ismail merebahkan tubuh ke bumi sambil menziarahi lehernya di atas sebuah batu sebagai tanda bersedia disembelih.
Keadaan Ismail itu tentulah menyentuh perasaan dan nurani kedua ibu bapanya, Nabi Ibrahim dan Hajar. Ismail antara lain mencadangkan supaya pedang diasah sehingga tajam manakala wajahnya ditutup dengan baju supaya tidak kelihatan oleh ibu bapanya terutamanya si bapa yang melaksanakan upacara penyembelihan nanti.
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim mahu menyembelih Ismail, tiba-tiba kedengaran suatu suara dari puncak bukit memanggil namanya, "Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau sudah bersiap sedia melaksanakan perintah Allah sebagaimana dalam mimpi engkau. Kami membalas segala ketaatan engkau itu."
Dikatakan malaikat membawa turun seekor kibas yang sungguh gemuk lagi sihat. Berkatalah malaikat, "Wahai Ibrahim, sembelih kibas ini sebagai ganti anakmu Ismail, makanlah dagingnya, jadikan hari ini sebagai hari raya (korban), dan sedekahkan sebahagian daripada dagingnya kepada orang fakir miskin."
Maka, Ismail kembali berdiri. Kali ini kibas yang menjadi korban sembelihan. Allah menjelaskan yang bermaksud, "Kami tebus dia dengan satu sembelihan yang agung."

No comments:

Post a Comment